Perjalanan Seribu Jarak Bermula Dengan Langkah Pertama...
Hari kedua datang dengan penuh semangat. Setelah mengajar di kelas, saya terus ke PSS. Cuba merealisasikan bisnes yang belum selesai. Baru 10 minit duduk di kerusi, pintu diketuk. Ada murid tingkatan lima ingin meminjam buku. Saya panik seketika..mencari buku rekod pinjaman. Baru saya sedar semua buku rekod kepenggunaan PSS masih berlabel 2016. Oh..bermakna saya perlu bertindak segera. Setelah merekodkan butiran peminjam ke dalam buku 2016 untuk sementara, saya terus mencetak buku-buku kepenggunaan bagi tahun 2017. Alhamdulillah..selesai..
Hari ini saya banyak berbincang dengan pentadbir tentang perancangan penambahbaikan PSS. Antara isi perbincangan ialah menjadikan Bilik Multimedia yang sedia ada kepada Bilik Diskusi. Mengapa perlu diwujudkan bilik seumpama itu? Hmm..salah satu sebabnya ialah saya ingin menjadikan PSS sebagai tempat pembelajaran pelbagai fungsi. PSS bukan sahaja ada ruang privasi untuk membaca dengan senyap malah ada juga menyediakan ruang perbincangan ilmiah yang tidak mengganggu ketenteraman ruang membaca. Selain itu, bilik diskusi boleh digunakan untuk pembentangan tajuk berkumpulan menggunakan smart TV yang sedia ada. Bilik itu juga akan diceriakan dengan meja-meja jepun dan karpet supaya lebih santai. Di dinding sisi akan dihiasi cermin besar supaya individu yang membuat pembentangan akan lebih berkeyakinan ketika bercakap. Cermin juga menampakkan keluasan dalam ruang.
Selain itu, Kelas 3 Qordowi yang berada di aras 2 akan dijadikan Bilik Multimedia 1 dan Bilik Bahasa akan menjadi Bilik Multimedia 2. Saya masih mencari-cari peralatan apakah yang sesuai dimuatkan di sana.. supaya fungsinya dapat dioptimum oleh banyak pihak. Secara umum, Bilik Multimedia berfungsi menyediakan tempat menggunakan media bercetak atau media elektronik bagi tujuan perkongsian maklumat. Sudah pasti LCD atau bod elektronik akan menjadi tarikan utama. Bilik ini juga akan dilengkapi dengan sistem audio agar lebih berkesan. Antara aktiviti yang boleh dilakukan ialah mesyuarat, ujian lisan, pembentangan kertas kerja, ladap, bengkel, tayangan dan apa-apa sahaja aktiviti yang sesuai dengan fungsinya.
Pengetua juga mencadangkan saya berhubung dengan PKG Hulu Klang untuk mendapat khidmat nasihat dan panduan dalam mengurus PSS. Petang itu juga saya menghubungi En Ihwan dan beliau bersetuju untuk datang ke sekolah esok. Wow..begitu cepat. Walaupun kerisauan bermain di hati saya namun saya perlu berfikiran positif. Malu bertanya sesat jalan.. Perkara baik tak perlu bertangguh.. Jadi saya setuju. Semoga ada kebaikannya di situ.. Saya juga mengadakan perbincangan dengan KP Pendidikan Seni Visual tentang idea-idea menceriakan PSS. Beliau akan datang pada Hari Jumaat bersama-sama suaminya yang juga seorang pereka seni dalaman untuk membantu. Ya Allah..terharunya saya. Syukur ya Rabb..
Menghabiskan masa di bilik kerja PSS berseorangan mengundang rasa bosan dan sunyi. Kerja-kerja membersih dan mengemas juga tidak mampu saya lakukan seorang diri. Saya perlu menggerakkan jentera Pengawas PSS. Pesanan telah dibuat kepada mereka agar datang bertugas pada hari esok hingga jam 3.30 petang selepas waktu sekolah. Saya akan memberi taklimat umum tentang jadual bertugas sementara dan aktiviti mingguan. Semoga semuanya berjalan lancar. Insya-Allah.. Usai 'clock-out', saya membawa anak bongsu saya makan di sebuah kafe hiasan dalaman iaitu Tims Cafe di Taman Melawati. Tujuan saya untuk mencari ilham hiasan dinding PSS sambil makan-makan santai. Sebaik-baik sahaja kaki melangkah masuk, saya disapa oleh seorang anak muda yang sedang minum kopi dengan ibunya...
Siapakah gerangannya pemuda itu?... Mengapa dia menegur saya?... Apa kaitannya dengan cerita PSS saya ini?..
Sabar..sabar dulu bos.. Nantikan episod seterusnya ya... ;)
No comments:
Post a Comment