Cetusan Ilham..
Cetusan Ilham..
Hari yang sangat sibuk.. Mana tidaknya.. Pagi-pagi lagi ada dua orang pembekal buku datang berjumpa saya. Seorang pembekal buku-buku agama dan seorang lagi pembekal buku-buku umum. Lama juga bersembang dengan mereka. Pengetahuan yang terlalu sedikit menyebabkan saya tidak berani membuat sebarang keputusan. Apatah lagi saya belum menerima anggaran belanjawan tahun ini daripada pihak sekolah. Lantas, sampel buku-buku mereka saya tinggalkan di atas meja...untuk dibincangkan dengan mantan guru media.
Usai berurusan dengan pembekal, PSS menerima pula kunjungan daripada rombongan pelajar khas bersama-sama guru-gurunya.. Orientasi pelajar baru katanya.. Tujuan lawatan ini adalah untuk memperkenalkan pelajar-pelajar tersebut tentang lokasi PSS dan suasana di dalamnya. Comel melihat telatah anak-anak syurga itu.. Ada yang mencuit-cuit buku dan bertanya itu dan ini kepada guru mereka.. Kunjungan mereka membuat saya terfikir untuk mewujudkan ruang yang sesuai untuk aktiviti bacaan pelajar istimewa..
Dapat pula panggilan telefon daripada pejabat. Katanya, Encik Irwan daripada PKG Hulu Klang sudah menunggu di sana. Fuhh..berpeluh juga saya dibuatnya. Dengan tenang saya menjemput mereka. Setelah dipersilakan duduk di meja hadapan, Encik Irwan dan Puan Nurul memperkenalkan diri. Sesi perbincangan pun bermula. Banyak nasihat dan komen membina yang diberi. Semuanya saya terima dengan positif. Insya-Allah..
Antara perkara yang menjadi topik bicara ialah susun atur kerusi meja di ruang membaca. Terlalu terbuka dan tiada ruang privasi. Saya perlu mengubah susun atur perabot supaya wujudnya pelbagai ruang untuk keselesaan pengguna. Baik! Saya akan laksanakan. Keceriaan PSS juga mesti diserlahkan dengan info terkini dan gaya alaf baru. PSS saya nampak 'old school' lagaknya..huhu.. Take note! Lagi, meja-meja bacaan boleh dimaklumatkan..kerusi-kerusi yang terkoyak kusyennya perlu dibaiki supaya nampak kemas. Hiasan dinding sudah ketinggalan zaman. Sudut pameran kurang berinformasi. Meja kaunter perlu diceriakan dan wujudkan ruang-ruang berinformasi yang menjadi tarikan tetamu.. ( Insyaallah..Insyaallah..lagu Maher Zain bermain-main di fikiran saya saat ini..)
Itu belum cerita pelbagai program yang wajib dilaksanakan. NILAM, Kempen Galakan Membaca, Hari Pusat Sumber dan berbagai-bagai lagi aktiviti. Owh..tepu rasanya kepala. Mampukah saya buat semua ini ya? Dengan zero pengalaman, apakah yang akan saya hasilkan nanti? Banyak persoalan yang bermain di fikiran. Kembali ke dalam diri..saya perlu positif. Saya menerima segala komen dan nasihat dengan hati terbuka. Jauh di sudut hati, saya amat berterima kasih atas kunjungan tetamu kehormat hari ini. Kehadiran mereka seolah-olah membuka minda saya untuk membuat perancangan sebaik-baiknya akan hala tuju PSS .. Sebenarnya inilah cetusan ilham yang saya perlukan.. Adios..
No comments:
Post a Comment