Thursday, 2 February 2017

Cetusan Ilham..


Cetusan Ilham.. 

Hari yang sangat sibuk.. Mana tidaknya.. Pagi-pagi lagi ada dua orang pembekal buku datang berjumpa saya. Seorang pembekal buku-buku agama dan seorang lagi pembekal buku-buku umum. Lama juga bersembang dengan mereka. Pengetahuan yang terlalu sedikit menyebabkan saya tidak berani membuat sebarang keputusan. Apatah lagi saya belum menerima anggaran belanjawan tahun ini daripada pihak sekolah. Lantas, sampel buku-buku mereka saya tinggalkan di atas meja...untuk dibincangkan dengan mantan guru media.

Usai berurusan dengan pembekal, PSS menerima pula kunjungan daripada rombongan pelajar khas bersama-sama guru-gurunya.. Orientasi pelajar baru katanya.. Tujuan lawatan ini adalah untuk memperkenalkan pelajar-pelajar tersebut tentang lokasi PSS dan suasana di dalamnya. Comel melihat telatah anak-anak syurga itu.. Ada yang mencuit-cuit buku dan bertanya itu dan ini kepada guru mereka.. Kunjungan mereka membuat saya terfikir untuk mewujudkan ruang yang sesuai untuk aktiviti bacaan pelajar istimewa..


Dapat pula panggilan telefon daripada pejabat. Katanya, Encik Irwan daripada PKG Hulu Klang sudah menunggu di sana. Fuhh..berpeluh juga saya dibuatnya. Dengan tenang saya menjemput mereka. Setelah dipersilakan duduk di meja hadapan, Encik Irwan dan Puan Nurul memperkenalkan diri. Sesi perbincangan pun bermula. Banyak nasihat dan komen membina yang diberi. Semuanya saya terima dengan positif. Insya-Allah..

Antara perkara yang menjadi topik bicara ialah susun atur kerusi meja di ruang membaca. Terlalu terbuka dan tiada ruang privasi. Saya perlu mengubah susun atur perabot supaya wujudnya pelbagai ruang untuk keselesaan pengguna. Baik! Saya akan laksanakan.  Keceriaan PSS juga mesti diserlahkan dengan info terkini dan gaya alaf baru. PSS saya nampak 'old school' lagaknya..huhu.. Take note! Lagi, meja-meja bacaan boleh dimaklumatkan..kerusi-kerusi yang terkoyak kusyennya perlu dibaiki supaya nampak kemas. Hiasan dinding sudah ketinggalan zaman. Sudut pameran kurang berinformasi. Meja kaunter perlu diceriakan dan wujudkan ruang-ruang berinformasi yang menjadi tarikan tetamu..  ( Insyaallah..Insyaallah..lagu Maher Zain bermain-main di fikiran saya saat ini..)

Itu belum cerita pelbagai program yang wajib dilaksanakan. NILAM, Kempen Galakan Membaca, Hari Pusat Sumber dan berbagai-bagai lagi aktiviti. Owh..tepu rasanya kepala. Mampukah saya buat semua ini ya? Dengan zero pengalaman, apakah yang akan saya hasilkan nanti? Banyak persoalan yang bermain di fikiran. Kembali ke dalam diri..saya perlu positif. Saya menerima segala komen dan nasihat dengan hati terbuka. Jauh di sudut hati, saya amat berterima kasih atas kunjungan tetamu kehormat hari ini.  Kehadiran mereka seolah-olah membuka minda saya untuk membuat perancangan sebaik-baiknya akan hala tuju PSS .. Sebenarnya inilah cetusan ilham yang saya perlukan.. Adios..


Perjalanan Seribu Jarak Bermula Dengan Langkah Pertama...



Hari kedua datang dengan penuh semangat. Setelah mengajar di kelas, saya terus ke PSS. Cuba merealisasikan bisnes yang belum selesai. Baru 10 minit duduk di kerusi, pintu diketuk. Ada murid tingkatan lima ingin meminjam buku. Saya panik seketika..mencari buku rekod pinjaman. Baru saya sedar semua buku rekod kepenggunaan PSS masih berlabel 2016. Oh..bermakna saya perlu bertindak segera. Setelah merekodkan butiran peminjam ke dalam buku 2016 untuk sementara, saya terus mencetak buku-buku kepenggunaan bagi tahun 2017. Alhamdulillah..selesai..

Hari ini saya banyak berbincang dengan pentadbir tentang perancangan penambahbaikan PSS. Antara isi perbincangan ialah menjadikan Bilik Multimedia yang sedia ada kepada Bilik Diskusi. Mengapa perlu diwujudkan bilik seumpama itu? Hmm..salah satu sebabnya ialah saya ingin menjadikan PSS sebagai tempat pembelajaran pelbagai fungsi. PSS bukan sahaja ada ruang privasi untuk membaca dengan senyap malah ada juga menyediakan ruang perbincangan ilmiah yang tidak mengganggu ketenteraman ruang membaca. Selain itu, bilik diskusi boleh digunakan untuk pembentangan tajuk berkumpulan menggunakan smart TV yang sedia ada. Bilik itu juga akan diceriakan dengan meja-meja jepun dan karpet supaya lebih santai. Di dinding sisi akan dihiasi cermin besar supaya individu yang membuat pembentangan akan lebih berkeyakinan ketika bercakap. Cermin juga menampakkan keluasan dalam ruang.

Selain itu, Kelas 3 Qordowi yang berada di aras 2 akan dijadikan Bilik Multimedia 1 dan Bilik Bahasa akan menjadi Bilik Multimedia 2. Saya masih mencari-cari peralatan apakah yang sesuai dimuatkan di sana.. supaya fungsinya dapat dioptimum oleh banyak pihak. Secara umum, Bilik Multimedia berfungsi menyediakan tempat menggunakan media bercetak atau media elektronik bagi tujuan perkongsian maklumat. Sudah pasti LCD atau bod elektronik akan menjadi tarikan utama. Bilik ini juga akan dilengkapi dengan sistem audio agar lebih berkesan. Antara aktiviti yang boleh dilakukan ialah mesyuarat, ujian lisan, pembentangan kertas kerja, ladap, bengkel, tayangan dan apa-apa sahaja aktiviti yang sesuai dengan fungsinya.

Pengetua juga mencadangkan saya berhubung dengan PKG Hulu Klang untuk mendapat khidmat nasihat dan panduan dalam mengurus PSS. Petang itu juga saya menghubungi En Ihwan dan beliau bersetuju untuk datang ke sekolah esok. Wow..begitu cepat. Walaupun kerisauan bermain di hati saya namun saya perlu berfikiran positif. Malu bertanya sesat jalan..  Perkara baik tak perlu bertangguh.. Jadi saya setuju. Semoga ada kebaikannya di situ.. Saya juga mengadakan perbincangan dengan KP Pendidikan Seni Visual tentang idea-idea menceriakan PSS. Beliau akan datang pada Hari Jumaat bersama-sama suaminya yang juga seorang pereka seni dalaman untuk membantu. Ya Allah..terharunya saya. Syukur ya Rabb..

Menghabiskan masa di bilik kerja PSS berseorangan mengundang rasa bosan dan sunyi. Kerja-kerja membersih dan mengemas juga tidak mampu saya lakukan seorang diri. Saya perlu menggerakkan jentera Pengawas PSS. Pesanan telah dibuat kepada mereka agar datang bertugas pada hari esok hingga jam 3.30 petang selepas waktu sekolah. Saya akan memberi taklimat umum tentang jadual bertugas sementara dan aktiviti mingguan. Semoga semuanya berjalan lancar. Insya-Allah.. Usai 'clock-out', saya membawa anak bongsu saya makan di sebuah kafe hiasan dalaman iaitu Tims Cafe di Taman Melawati. Tujuan saya untuk mencari ilham hiasan dinding PSS sambil makan-makan santai.  Sebaik-baik sahaja kaki melangkah masuk, saya disapa oleh seorang anak muda yang sedang minum kopi dengan ibunya...

Siapakah gerangannya pemuda itu?... Mengapa dia menegur saya?... Apa kaitannya dengan cerita PSS saya ini?.. 
Sabar..sabar dulu bos.. Nantikan episod seterusnya ya...  ;)



SELAMAT TAHUN BARU PSS SMKTM !


Alhamdulillah.. kita dipanjangkan usia untuk terus mengorak langkah ke tahun baru 2017.. Tahun 2017 menjadi satu titik permulaan bagi saya untuk menimba pengalaman baru. Tahun ini saya dilantik menjadi Guru Media dan Penyelaras Pusat Sumber Sekolah. Tugas yang sangat asing bagi saya setelah hampir 21 tahun berkelana di arus perdana sebagai guru biasa. Puluhan tahun mengajar dan menggalas pelbagai tugas di sekolah, bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilupakan begitu saja. Pahit manis pengalaman tersebut kadangkala menjadi sumber kekuatan dan inspirasi kepada saya untuk memulakan tugas baru.

Hari pertama saya melangkah masuk ke PSS sebagai guru media, pelbagai perasaan yang bermain di hati saya. Rasa seronok kerana teruja untuk memulakan tugas baru. Rasa takut kalau tidak dapat melaksanakan amanah dengan baik. Rasa sedih kerana terpaksa meninggalkan murid-murid SPM saya.. dan yang paling banyak ialah rasa ' Blurr..'.. kerana tidak tahu di mana saya nak bermula.. Saya buka pintu PSS dan melihat ruang baca yang luas terbentang ..buku-buku yang banyak di rak dan kerusi meja yang tersusun rapi.. Lama juga saya merenung dinding hijau muda di bilik itu..Bermacam-macam perkara bermain di fikiran saya.. Mampukah aku?.. bisik hati kecil saya.

Tiba-tiba mantan guru media muncul. Wajahnya yang putih melepak tersenyum manis memandang saya. Saya segera mempersilakan beliau masuk. Kami sememangnya sudah menetapkan masa untuk berbincang tentang peralihan tugas. Saya juga sudah bersedia mendengar apa sahaja arahan dan tunjuk ajar daripada beliau. Sesi perbincangan pun bermula.. ' Kak wana kena buat ni...kena fotostate ni.. kena update fail..kena ni..kena tu..' sehinggalah saya tenggelam dalam kembara persoalan yang maha banyak... Ya Allah..bantulah hamba-Mu ini..

Usai perbincangan, saya terus mengambil Borang Kad Keahlian PSS untuk tingkatan 1 dan Borang Maklumat Pengawas PSS. Saya menghantarnya ke pejabat untuk diperbanyak lalu menyerahkannya kepada guru PSS sesi petang. Alhamdulillah..selesai satu tugas. Saya menumpang solat zohor di pejabat dan masa yang selebihnya saya membuat perancangan untuk esok hari. Masih tidak pasti..apa yang perlu saya buat dahulu.. Saya membuat 'route tour' ke seluruh ceruk PSS. Saya melangkah dari satu bilik ke satu bilik.. sambil berfikir bagaimana saya mahu masukkan segala harapan sekolah ke dalam visi dan misi PSS ini..

Akhirnya..jam berdetik menunjukkan pukul 4 petang. Masa untuk pulang..namun misi belum bermula.. Saya berdoa agar segalanya baik-baik saja. Semoga Allah membantu saya mencapai matlamat yang diinginkan. Masih jauh perjalanan ini.. namun semuanya tidak mustahil dilaksanakan dengan syarat berusaha dan berusaha dengan gigih.. insya-Allah.. Allah akan membantu.. amin..